Perutusan Yang Dipertua - Tuan Mohd Fariszan bin Ahmad
Rakan ASGURA yang dihormati,
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli atas usaha dan sokongan yang telah diberikan kepada ASGURA selama ini. Penubuhan ASGURA sejak tahun 2009, adalah bertujuan untuk memperkukuhkan rasa persaudaraan antara sesama ahli dan juga untuk menanam perasan muhibah antara ahli-ahli, guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah. Organisasi seperti ASGURA menuntut semangat kerja sukarela dan kekuatan ahli-ahlinya untuk menggerakkan pelbagai aktiviti bagi mencapai objektif penubuhannya. Kita mempunyai tanggungjawab bersama ke arah matlamat tersebut.
Justeru, ASGURA perlu dilihat sebagai alumni yang inklusif yang merangkumi semua batch di kalangan kita dan menyediakan ruang serta peluang kepada semua untuk menyumbang masa, tenaga, kewangan dan sebagainya dalam menjayakan pelbagai aktiviti yang boleh memberikan manfaat kepada semua seperti aktiviti kebajikan, kemasyarakatan, pendidikan, sukan, rekreasi dan sebagainya.
Oleh itu, ASGURA perlu dimantapkan dari segi organisasi dan mengukuhkan sumber kewangan bagi memacu ahli-ahlinya ke hadapan. Jawatankuasa yang baharu dilantik bagi sesi 2023 – 2026 akan bekerja keras ke arah merealisasikan aspirasi ahlinya, dan meneruskan kerja baik yang telah dimulakan oleh Jawatankuasa terdahulu.
Marilah kita bersama-sama berganding bahu menyinsing lengan memberikan sokongan dan idea-idea baharu supaya ASGURA, mengorak langkah ke hadapan dengan lebih baik.
Salam,
Mohd Fariszan bin Ahmad
Yang Dipertua